Menterjemah bentuk dan proses pendidikan bagi merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan


    

Nur Amirah Adilah Fikriyah Binti Sabarudin (D20212099254)

Bentuk Pendidikan 




Pendidikan merupakan suatu proses yang berlaku dalam diri seseorang bermula sejak dalam kandungan sehingga ke akhir hayat. Sepanjang tempoh sejak lahir hingga ke akhir hayat, pendidikan yang berlaku merupakan proses pemerolehan dan pemindahan secara berterusan melibatkan pengetahuan dan nilai murni.

Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), bentuk pendidikan terbahagi kepada tiga iaitu Pendidikan informal, pendidikan formal, dan pendidikan Non Formal. Bagi pendidikan informal, reka bentuk nya adalah berdasarkan pembinaan kemahiran untuk jangka masa yang berterusan, pengajaran diperolehi daripada keluarga dan masyarakat, sistem pembelajaran yang tidak berjadual, berinstitusikan rumah dan masyarakat, tidak berkurikulum, tiada penilaian, dan pengiktirafan. Bagi pendidikan formal pula, berfokuskan perkembangan ilmu dan kemahiran jangka masa lama, diajar oleh guru terlatih, menggunakan jadual, seragam sekolah dan teks pembelajaran. Berinstitusikan bangunan sekolah dan kelas, mempunyai kurikulum rasmi dan kebangsaaan, mendapat pengiktirafan seperti sijil, diploma dan ijazah, organisasi pendidikan formal seperti prasekolah, Sekolah rendah, Sekolah Menengah, dan pengajian tinggi. Yang terakhir sekali, pendidikan non-formal di mana reka bentuknya adalah berasaskan perkembangan kemahiran jangka masa pendek, di ajar oleh ahli masyarakat yang pakar, pembelajaran yang berjadual, institusi dan kurikulum terbahgai kepada dua iaitu rasmi (kerajaan) dan tidak rasmi, (swasta), tiada penilaian, pengiktirafan biasanya dalam bentuk sijil penyertaan dan organisai terbahagi kepada kerajaan, swasta dan NGO. 

Manakala Kemahiran Pendidikan berterusan melibatkan 3 peringkat iaitu Peringkat Awal, Peringkat Sekolah dan Peringkat Lepas Sekolah. Pada Peringkat Awal, pendidikan yang diperoleh adalah secara tidak formal yang memberi penekanan terhadap aspek-aspek berikut: Pertuturan, Bimbingan agama, Asuhan budi pekerti, Penjagaan kesihatan, Perhubungan fizikal Di rumah. Seseorang kanak-kanak menerima pendidikan asas yang melibatkan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Sejak lahir, seseorang kanak-kanak dididik untuk makan, minum, bertutur, mengenali anggota badan, mengenali ahli keluarga, membersihkan diri, menguruskan diri dan sebagainya. Kanak-kanak juga dididik oleh ibu bapa dan ahli keluarganya dari segi adab sopan dan budi pekerti seperti adab makan, adab bertutur, tingkah laku yang boleh dan tidak boleh diamalkan dan sebagainya. Pada peringkat awal ini juga, kanak-kanak menerima pendidikan asas semasa di tadika sebagai kesinambungan pendidikan yang diterima di rumah. Sebagai contoh, seseorang kanak-kanak diajar oleh ibu bapa serta ahli keluarganya untuk bertutur agar memahami dan dapat berkomunikasi menggunakan bahasa. Sepanjang di tadika, kanak-kanak terus belajar untuk berkomunikasi melalui didikan pengasuh atau guru pendidikan awal kanak-kanak. Semasa di tadika juga kanak-kanak belajar berkomunikasi dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain semasa belajar atau bermain serta pengasuh atau guru yang bukan dalam kalangan ahli keluarga mereka. Pada peringkat sekolah, murid-murid mendapat pendidikan formal yang melibatkan empat peringkat persekolahan iaitu prasekolah,  sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi. Pada peringkat ini, penekanan adalah terhadap aspek-aspek berikut: Perolehan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, penghayatan agama dan nilai murni, perkembangan bakat dan potensi, pembentukan jati diri, pemilihan kerjaya, penyesuaian hidup , perkembangan sosial dan pemupukan nasionalisme.

Proses pendidikan berterusan sehingga ke Peringkat Lepas Sekolah. Selepas alam persekolahan, pendidikan terus berlaku di tempat kerja mahupun dalam komuniti. Selain daripada itu, pendidikan terus berlaku secara pembelajaran kendiri sama ada melalui media massa atau melalui internet. Pada Peringkat Lepas Sekolah, penekanan adalah terhadap peningkatan perolehan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, penghayatan agama dan nilai murni, penyesuaian hidup, perkembangan bakat dan potensi.


Proses Pendidikan

 

Pendidikan adalah usaha secara berterusan, daripada lahir, sehinggalah ke peringkat selepas persekolahan formal di sekolah. Usaha berterusan ini adalah daripada aspek pemilihan kerjaya, penyesuaian hidup, pembentukan jati diri, perkembangan social, mengeratkan perpaduan, pemupukan nasionalisme, perkembangan bakat dan potensi, penghayatan agama dan nilai murni serta perolehan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

 Manakala yang kedua adalah dengan mengembangkan potensi yang sedia ada. Potensi merupakan bakat, kebolehan atau keupayaan yang ada pada seseorang individu. Sejak lahir individu memiliki pelbagai keupayaan. Namun begitu, tidak semua bakat atau keupayaan dapat dilihat dengan jelas kerana sebahagiannya lagi adalah terpendam dalam diri individu. Sehubungan dengan itu, pendidikan berperanan memperkembangkan potensi murid optimum sehingga individu mencapai ke tahap cemerlang. Usaha ini memerlukan bakat yang ada pada setiap individu dicungkil dan dipertingkatkan secara berterusan dan hal ini bukanlah suatu usaha yang mudah sebaliknya perlu dirancang secara teratur dan bersungguh-sungguh.

Empat potensi ini yang ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Intelek, Rohani, Emosi dan Jasmani. Pertama adalah intelek. Potensi intelek merupakan keupayaan mental iaitu yang berkaitan dengan akal dan daya fikir yang dimiliki oleh seseorang. Tidak dapat dinafikan, intelek merupakan unsur penting dalam perkembangan sesuatu bidang ilmu. Perkembangan potensi intelek adalah bagi memastikan seseorang itu memperoleh kemahiran asas 3M (Menulis, membaca, mengira), berfikir secara kreatif dan kritis, mendapatkan, meningkatkan dan menyebarkan ilmu, memanfaatkan ilmu untuk diri dan orang lain. Dalam hal ini, perkembangan potensi intelek adalah merujuk kepada bidang ilmu yang bermanfaat di samping membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan manusia dan alam sekitar serta tidak bertentangan dengan agama. Pemikiran kreatif adalah ke arah melahirkan rakyat yang inovatif tetapi kritis dalam menjangkakan kesan dan akibat sesuatu pembaharuan kepada manusia sejagat dan alam agar sesuatu pembaharuan atau perubahan itu tidak membawa kepada kemudaratan dan kerosakan.

Kedua Rohani. Potensi rohani adalah berkaitan dengan jiwa dan kalbu yang melibatkan hubungan seseorang dengan tuhan. Keteguhan rohani adalah penting bagi melahirkan individu yang murni akhlak dan insaf kepada Pencipta. Oleh itu, unsur rohani dikembangkan bagi membentuk individu yang menyedari dan menginsafi adanya Pencipta, menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta , menyedari dan menginsafi tanggung jawab, membentuk akhlak mulia, Memupuk dan membina disiplin kendiri.

Ketiga emosi. Potensi emosi adalah berkaitan dengan jiwa dan perasaan seseorang. Pembangunan emosi dititik beratkan kerana emosi mempengaruhi seseorang dalam tingkah laku dan tindakannya. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, perkembangan emosi adalah bagi memastikan perasaan tenang dan tingkahlaku terkawal, memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang, memiliki semangat kekitaan dan perpaduan, menghargai serta menilai keindahan dan kesenian.

Keempat jasmani. Potensi jasmani merupakan keupayaan psikomotor yang dimiliki oleh seseorang. Ia berkaitan dengan kecergasan fizikal diri manusia. Perkembangan unsur jasmani adalah bagi memastikan seseorang individu berkeupayaan menjaga kesihatan badan, melakukan riadah, mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal dan manipulative, memanfaatkan tenaga fizikal untuk berdikari, menggunakan tenaga fizikal untuk berdikari, menggunakan tenaga fizikal bagi kepentingan rakyat dan berusaha meningkatkan daya pengeluaran.

Perkembangan keempat empat potensi iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani hendaklah dilakukan secara menyeluruh untuk setiap individu kerana kesemuanya adalah sama penting, dan secara bersepadu, bukannya satu persatu kerana kesemua potensi hendaklah di hubung kaitkan antara satu dengan yang lain, serta perlulah seimbang dan harmonis bagi membolehkan penguasaan ilmu, kemahiran, nilai, budaya dan kepercayaan dapat dicapai. 


Matlamat pendidikan yang dihasratkan 

 Melalui bentuk dan proses pendidikan di dalam FPK ini, apa yang sepatutnya di perolehi menerusi pendidikan adalah Ilmu, Mahir, Berakhlak, Beragama, Tanggungjawab, Sejahtera diri, dimana bagi penerangan untuk berilmu pengetahuan seseorang individu akan gemar membaca, berfikiran luas dan terbuka. Manakala bagi keterampilan, individu itu mampu mempunyai kebolehan dalam melaksana dan menyempurnakan tugas dengan cemerlang. Berakhlak mulia di mana mampu mengetahui nilai baik dan buruk, menyedari kesan daripada perbuatan baik dan buruk. Pegangan agama bagi setiap individu perlulah mengikuti dan mengamalkan agama, menyedari bahwa manusia bertangungjawab sepenuhnya terhadap perbuatannya. Bertanggungjawab yang membawa maksud mengetahui tugas dan tanggungjawab adalah Amanah. Mampu menjalankan tugas dengan bersih dan cekap dan Amanah dan Sejahtera diri di mana mampu mewujudkan perhubungan yang baik, fikriran yang waras, jiwa yang tenang dan badan yang sihat, mempunyai daya ketahanan diri yang kuat untuk cabaran hidup


RUJUKAN

https://docs.google.com/file/d/0B6APZTiwmLyyejF1TVFLVFICNTg/edit

MODUL 

Zaini Abdullah, Z. (2019). Modul Perkembangan Pendidikan Malaysia Falsafah dan Dasar. Malaysi: Universiti Pendidikan Sultan Idris










No comments:

Post a Comment